Friday, July 25, 2008

Bolehkah tanganmu kupegang?

Bolehkah tanganmu kupegang?
"Maafkan I... I mahu pegang tangan you! Err...
boleh?"
Entah mengapa kumulakan kata dengan maaf.
Sekadar berbahasa atau menunjukkan diriku ini
gentlemen. Aini hanya diam. Diam bermakna
membenarkan. Tetapi Aini bukan gadis zaman 50-
an, atau 60-an, atau dulu-dulu. Aini gadis alaf baru
yang ada ijazah kepujian. Aini bukan gadis
sebarangan.

Masihkah Aini berpegang pada sifat malu dan cara
berkomunikasi yang sinonim dikaitkan dengan
wanita Melayu? Diam tandanya mahu. Malu tetapi
mahu. Aku tidak pasti tetapi nafsuku begitu
membuak-buak ingin menyentuh tangan halusnya
yang runcing.

Mana kau tahu tangan Aini halus, tanya hati
gelapku? Itu anggapanku saja. Seringkali aku
menjeling-jeling tangan bogelnya. Rasanya tangan
itu mesti lembut. Ohh... sebab itu aku teringin
sekali menyentuhnya. Adakah dia rela tangannya
kuusap?

Aini masih diam. Tubuhnya bergerak ke belakang,
sedikit saja tetapi seperti dia mahu menjauhi aku.
"Kenapa you nak pegang tangan I?" Tanyanya
lembut. Suara halusnya cukup jelas kudengar.
Tetapi aku pura-pura tidak perasan membuatkan
Aini mengulang pertanyaannya tadi. Kali ini lebih
kuat dan jelas.
Perlukah aku memberitahu tentang mimpi dan
fikiranku yang berserabut. Tentang ingatanku
kepada Aini. Di kepalaku hanya ada Aini. Ini
memang cinta tetapi sebagai lelaki, nafsuku
membara sama. Mahu dekat selalu dengan Aini
dan mahu lebih intim lagi. Paling sedikit, aku
teringin memegang tangannya, sekejap pun jadilah.

"Mana mahu jadi sekejap," itu kata temannya
Osman. "Kau memang rasa hendak pegang kejap
saja tetapi kau gerenti tak mahu lepaskan. Kena
pula dia pun suka, sepanjang hari pun boleh tu..."
Berdekah-dekah gelak Osman. Katanya itu realiti.
Namun aku tidak pasti jika hanya teringin atau
mahu terus memiliki Aini.

Minggu lalu ketika menghantar Aini pulang ke
rumahnya, jari jemari kami tersentuh sewaktu aku
dan dia sama-sama ingin mencari siaran radio.
Berderau darahku. Aini cepat-cepat menarik
tangannya. Sejak hari itu Aini selalu mencari
alasan untuk menolak ajakanku daripada
menghantarnya pulang. Selalu sangat dia pulang
lebih awal atau menumpang temannya yang lain.

"Sudah empat tahun kita berkawan... Memang
lama. Apa salahnya I pegang tangan you..."
"You rasa sudah tiba masanya kita boleh
berpegang tangan?"
"Tak mengapalah kalau tak boleh. I hormat
pendirian you."
"Kenapa pendirian i pula? Pendirian you sendiri
bagaimana? Tak sama?" Aku terkedu dengan
pertanyaan Aini. Sudah lama kami berkawan,
sejak di universiti lagi. Kami sering berterus-terang
dalam apa perkara sekali pun. Cara Aini menjaga
diri dan pendiriannya antara penyebab aku meletak
minat yang tinggi padanya. Aini umpama mawar
berduri yang ramai lelaki ingin miliki. Tetapi dia
memilih aku menjadi buah hatinya.
"Lagipun kita akan berkahwin juga nanti 'kan."

Cara kami berpacaran mungkin tidak sama dengan
remaja lain. Semuanya kerana pendirian Aini
itulah. Walau ada rindu-rinduan tetapi kami tidak
pernah bersentuhan. Sehinggalah baru-baru ini aku
mula merasakan ingin menyentuh Aini, sekadar
menyentuh tangannya pun jadilah.

"Ini bukan pendirian saja tetapi pegangan. Di mana
pegangan you? Macam mana you boleh terfikir
tiba-tiba hendak memegang tangan I?"
"Sebab I lelaki... jadi I rasa, perasaan teringin tu
memang biasa dan semula jadi."

"Teringin bukan bermakna mesti buat. I teringin
banyak perkara, I teringin nak pakai baju cantik-
cantik tetapi semuanya jarang, jadi I tahu I tak
boleh pakai pun. I teringin yang bersolek cantik,
bergincu merah menyala ke tempat kerja, tetapi I
tahu berdosa, jadi I tak buat..."
Peluh sejuk mengalir tiba-tiba. Aini tidak marah
pun. Suaranya pun tidak tinggi. Dia bukannya
melenting tetapi kenapa aku tiba-tiba kecut perut.

"Kita sudah biasa berterus-terang Amran, biarkan
kita berterus-terang hari ini. I pun teringin hendak
memegang tangan you. Teringin hendak berdakap
dengan you dan ada kala teringin merasa diri
dibelai... Sebab you lelaki yang I cintai..."
"Aini..."
"Tetapi teringin sajalah... You ingat hanya lelaki
yang ada nafsu?"

Hujung minggu aku pulang ke kampung. Mungkin
sudah tiba masanya aku dan Aini diijabkabulkan.
Semuanya kerana keteringinan kami berdua.
Emak bersetuju, ayah pun gembira. Eloklah
masuk meminang kata mereka.
"Meminang?" Tanya Aini. Dia tiba-tiba terkejut.
Wajahnya merah. Tidak pernah Aini terkejut
begitu. "Bila?"
"Bila-bila, asal saja you setuju." Aini
memandangku tepat. "I rasa sudah tiba masanya
kita hidup berumahtangga. I mahu pegang tangan
you selama-lamanya, biar halal caranya."

"Amran, I minta maaf. You pilih I kerana you rasa I
menepati sebagai wanita untuk you peristeri. I tahu
you bangga dengan pendirian I. Tetapi Amran, you
sendiri tidak menepati lelaki yang sepatutnya
menjadi suami I. I rasa pendirian kita kita tidak
sama. Maafkan I...

p/s: moga cerpen ini membawa pengajaran kpd
kita semua, Amin

wassalam

No comments: